Wednesday, 30 September 2015

STRATEGI BINA TOC 4/66.


Apakah Tuan Roslan Ab Hamid seorang Trainer. Counselor. Coach. Teacher. Mentor. Consultant.
Sebelum saya definasikan semua itu dengan benderang ikut lampu suluh yang saya ada- saya kena jelaskan satu pun saya tidak. Saya tidak sampai tahap pemegang lesen mana mana yang tersebut diatas.

Habis tuan ini apa? Saya suka berkongsi. Tapi dalam Team Members saya ada trainer, ada counselor, ada coach, ada guru, ada mentor dan ada consultant.

Tuan ambil bayaran untuk program Tuan?
Ya. Ianya menampung tiket penerbangan saya dan isteri, makan minum di Kuala Lumpur, beli buku yang beribu sebulan, sewaan tempat program, penyediaan tempat latihan. Usahawan mesti break even.

1. Apabila berkongsi,ia beri impak positif kepada diri sendiri. Kita yang paling banyak belajar sebenar. Fokus pada orang akan tambah baik diri sendiri.
2. Kita buat modul untuk berkongsi. Kita ikut modul itu. Nantinya kita pandai lebih lagi.
3. Apabila ada ilmu, kita kongsi pada team sendiri. Semua orang menang. Diri sendiri, team kita, dan syarikat kita.
4. Perkongsian adalah dua hala. Kita belajar banyak perkara dari semua peserta.
5. Pembelajaran sepanjang hayat membantu menambah nilai dalam ramai hidup orang lain juga.
6. Tahu apa tujuan hidup kita. Ilmu bermanfaat itu satu dari tiga sungai pahala.

Saya bertanggungjawab "memaksa" sahabat ANSARA yang jadi guru saya sekarang, Ibuhanim Faridah Hanim Haron berkongsi. Dia selesa lama di Petronas. Tidak dibenarkan berkongsi dengan orang luar.

Kemudian Talent Corp "pikat" dia bawa ke SPRM. Tambat di situ.
Saya kata, berikan sedikit masa buat ramai lagi orang luar yang mahu belajar. Lalu dia pun turun dari peraduan panjang berkongsi ilmu pendiri korporat. Mahu kenal dia - rajin rajin lah jengok tengok page :
Annems Leadership Solution.

Pilih satu modul dan cuba sekali. Andai berkenan di hati tambah lagi. Ala Carte atau ambil ikut set, ianya selera pilihan kita.

STRATEGI BINA TOC 5/66.

Samada kita pendiri korporat, pemilik syarikat atau ketua yang berpangkat dan pemimpin masyarakat bila-kah kali terakhir kita mengendalikan sesi latihan kepada ahli dalam pasukan kita.

Apakah punca kita menyerahkan kepada orang lain untuk mengendalikan sesi sesi penting bersama pasukan kita? Apakah sebab kita tidak melahirkan "The Coaching Leader kita sendiri. Apakah yang menghalang kita mewujudkan "a coaching culture" dalam organisasi sendiri.

Selalunya kita bermula dengan pasukan kecil peneroka dan penyemai benih. Ini team awal yang faham falsafah dan sejarah.

Namun apabila syarikat besar, kita membiak lahirkan banyak pengurus dan pengawal yang bertanggungjawab. Budaya OTD - "old training discipline" telah bertukar menjadi perbualan pasukan bomba memadam kebakaran - "crisis management".

Krisis harian dan kuota bulanan telah menjadikan iklim dalam organisasi lesu. Apabila seluruh perbualan tentang nombor dan kita melupakan psikologi kejayaan, ilmu kepimpinan dan alat alat tambah kecekapan maka syarikat kita bakal berdepan masa depan suram.

Apa yang kita perlukan adalah "proven coaching model". Ini ilmu pendiri korporat. Ilmu yang menjadikan kita ada pasukan mantap
Belajar tiga perkara:
Mindset
Leadership
Core Competency.
---------------------------------------------------------------------------------------------
Inilah yang dimaksudkan oleh Puan Guru Ainon Mohd. dari sudut pandang pengertian saya.
"Bagaimanakah kita mengembangkan bisnes? Caranya adalah dengan membangunkan grup-grup genius yang bertugas dalam syarikat.
Grup-grup genius bukan bekerja. Mereka mencipta kerja mereka sendiri. Mereka juga mencipta peluang-peluang pekerjaan baru dalam syarikat di mana mereka bertugas.
Mereka melakukan kerja-kerja kreatif dan inovatif juga. Merekalah yang mengembangkan bisnes syarikat kita. Banyak syarikat hanya mempunyai 'grup pekerja'. Mereka tidak mempunyai 'grup genius'"
------------------------------------------------------------------------------------------------
Group Genius boleh dibangunkan apabila Pendiri Korporatnya menjadi The Coaching Leader.

STRATEGI BINA TOC 6/66.


Istilah coaching dalam mainstream business ini adalah perkara baru. Ia baru bermula pada tahun 90an. Oleh kerana baru, maka ia menimbulkan banyak kekeliruan.

Ramai masih teraba raba tidak dapat membezakan antara kaunselor, guru, trainer, consultant, mentor dan coach. Kita uruti satu persatu akan istilah dan definasi ini.

KAUNSELOR.
Sorang kaunselor akan membantu satu langkah dalam banyak langkah yang perlu dillaui ioleh seseorang. Seorang kaunselor akan membantu seseorang yang sedang berdepan cabaran membebaskan diri mereka dari keadaan sekarang atau masa silam yang tidak memberansangkan.
Peristiwa yang berlaku pada masa lalu itu telah menghalang pekerja tersebut untuk maju dalam kerjayanya.Khidmat kaunselor diperlukan dalam urusan itu.

GURU.
Seorang Guru pula telah ada kurikulum. Tugas guru membantu pelajar belajar kurikulum itu. Saya dipanggil Public Speaking Guru dan saya terima- Benar saya telah ada kurikulum khusus yang boleh menjadikan seseorang itu menjadi tiga kali lebih baik dalam penyampaian setelah ikut semua kurikulum PSM yang saya sediakan. Insha Allah.

TRAINER.
Seorang Trainer pula seorang yang membantu seseorang atau sekumpulan orang mempelajari kelakuan baru, metadologi, sistem dan kemahiran.

KONSULTAN.
Seorang konsultan pula datang ke satu organisasi dan menentukan mana tempat yang memerlukan cabaran besar atau peluang untuk penambahbaikan. Konsultan memberikan rekomendasi spesifik untuk mengatasi cabaran besar itu atau implementasi tertentu bagi penambahbaikan.
Konsultan akan meninggalkan laporan dan senarai tindakan kepada orang tertentu dalam organisasi untuk ambil tindakan perlu. Konsultan tidak melakukannya sendiri.

MENTOR.
Mentor pula berkongsi apa yang dia tahu dengan orang yang kurang berpengalaman. Mentor adalah orang yang melalui jalan tersebut lebih dahulu. Dengan memahami liku dan simpang mentor boleh membantu mengelakkan perangkap cukai kebodohan dan memendekkan lengkok pembelajaran.
Apakah tugasan seorang coach?

(Bersambung)

STRATEGI BINA TOC 7 /66.


Siapakah yang dipanggil coach (jurulatih)?

Coach adalah orang yang membantu orang lain bagi menilai keadaan mereka dan kemudian membantu meningkatkan kemahiran mereka.

Disiplin dan pengetahuan juga perlu meningkat supaya mereka boleh membuat perubahan dengan mempunyai gambaran yang lebih besar. (biasanya perubahan ini pada minda dan jantunghati mereka).

Ini membolehkan mereka secara berpasukan dapat berpadu untuk menyelaraskan langkah-langkah dan tingkah laku secara bersama supaya mereka dapat mencapai lebih banyak perkara pada masa depan.

Orang-orang yang meminta coach untuk datang membantu biasanya mereka yang sudah "biasa naik gunung": sentiasa yakin dan setuju bahawa mereka boleh memberi tumpuan untuk ke atas.

Mereka ini telah dapat melihat puncak gunung itu. Mereka sudah melihat peluang untuk jadi juara secara berpasukan. Mereka mempunyai kemahiran yang baik serta disiplin yang kuat.

Mereka bersedia untuk diajar, dilatih dan dibimbing untuk mereka memanjat lebih pantas, cepat dan kuat. Pada detik ini coach datang dan membantu mereka untuk dapat melihat lebih banyak peluang dan kemungkinan terbuka lapang.

Coach akan membuat sedikit sebanyak perubahan supaya mereka beroleh faedah yang lebih. Lebih banyak dari apa yang telah mereka pelajari.

Melalui "one-on-one realationship" - coach akan bertanya soalan yang betul bagi menjelas dan mengingatkan "kesalahan" mereka. Ini akan membantu mereka yang dilatih untuk mengubah tabiat mereka supaya mereka boleh menjadi lebih berjaya dan hidup dengan penuh makna.

Setiap satu daripada peranan ini samada kaunselor, guru, jurulatih, perunding, mentor, adalah unik . Seorang coach (jurulatih) yang baik perlu mempunyai beberapa kemahiran di setiap peranan dan tugasan diatas.

Adakalnya coach akan menjadi seorang guru. Kadang-kadang beliau seorang mentor. Ada masanya kaunselor.

Namun secara hakikinya seorang coach, tetap dan sentiasa seorang coach.

STRATEGI BINA TOC 8 /66.


8 COMPETENCIES SEBAGAI LEADER.
Kita urut lapan perkara ini dahulu bagi memahami peranan coach leader.

1. PENGERTIAN : upaya melihat apa yang tidak tampak secara ketara. Upaya memahami apa yang tidak didengar melalui gegendang telinga.

2. LIBATSAMA: Ada perjuangan pada tasa piramid kejayaan yang mahu dibawa bersama. Semakin akrab perjuangan yang mahu dibawa semakin seimbang antara "living and leading". Ia sebati dan kita pun rasa sedang berlari mengejar impian dan gelak dan hilai walauoun tubuh berselut lumpur kepayahan.

3. PERTANGGUNGJAWABAN. Tanggungan terhebat adalah membantu memandaikan ramai orang untuk capai apa yang mereka mahu capai. Capai dengan ilmu dan kemahiran yang kita bekalkan kepada mereka.

4. PENGGUNAAN SISTEM YANG BERKESAN DAN "ALATAN YANG TAJAM". Sistem untuk ambil nota, follow up, mendorong tatkala terjatuh, memagar supaya tidak keluar longkang dan ada cara mengingat semula apa yang telah dipelajari dalam program terdahulu.

(Bersambung)

Sunday, 27 September 2015

TRIBES 2/120.


Untuk bina Tribe mesti ada ilmu Leadership. Ianya bukan sukar. Namun, Leadership menjadi payah apabila kita dilatih, dibentuk dalam acuan untuk cuba elak dari ambil tanggungjawab.
Apa yang penting untuk kita sedari, kita ada segala kemahiran perlu untuk buat "perbezaan besar" dalam satu satu perkara. Apakah perlu dibuat: LAKUKAN SEKARANG.
Tidak perlu tunggu hingga kita ada syarikat dengan 100 orang pekerja. Tidak perlu tunggu hingga kita mendaki tempat tinggi dalam corporate ladder.
Dalam Islam, "semasa mengembara, walaupun kamu hanya bertiga, lantik-lah seorang daripada kamu sebagai pemimpin".
Bina TRIBE dan jadilah Ketua- pemimpin kesukaan mereka.

STRATEGI BINA TOC 3/66.


Apakah yang membezakan "Good Leaders dengan Great Leaders". Ianya adalah komitmen pada pembangunan sumber daya manusia. Kita hanya dipanggil Leaders apabila kita membangunkan manusia.
Minat dan hasrat kuat membina manusia. Menjadikan mereka lebih berupaya apabila potensi mereka di-kembang segera. Antara perkara termanis dalam hidup ini adalah membuat pelaburan dalam hidup orang lain. Melihat mereka "tumbuh sayap dan mampu terbang tinggi".
Satu hari apa yang akrab pada hari ini akan jadi memori. Apa yang rapat dan dekat dengan diri akan berjauh hati dan pergi. Yang tinggal hanyalah memori.
Biarlah memori terbaik datang masa kita belajar bersama, saling menegur sesama sendiri , saat kita berusaha membangunkan modal diri.
Ini namanya meninggalkan jejak bertapak sebagai legasi. Inilah keterujaan yang terbina dalam Ekonomi Persahabatan. Sebermula masa mereka belajar dengan saya dan kini disambung tatkala bersama dalam kelas Ibuhanim Faridah Hanim Haron.
Belajar ilmu ilmu begini akan memberikan struktur yang kita perlukan untuk capai apa yang dipanggil "lasting Impact"- menjadi pemimpin yang lebih efektif dari diri kita sekarang.
Great Leaders akan berjalan ber-iringan dengan pendokongnya dan "saling mencederakan emosi" dalam gelak ketawa persahabatan yang panjang.
Manusia secara sejagatnya terbina secara "professionally, personally, realtionally, spritually" dengan cara begini sebagaimana adik beradik mengakrabkan diri.
Kesempurnaan bukanlah terbina atas hubungan tiada cacat cela. tiada garis luka. Keakraban terbina atas cedera emosi, sakit hati, terkilan berkali kali - namun itulah indahnya apa yang dipanggil "people development".
Bermula di Pulau Jutawan hingga kini kami belajar ilmu kepemimpinan. Sesi "Emotional Intelligence" adalah satu dari 85 perkara yang kami pelajari.

STRATEGI BINA TOC 2/66.


Dalam kelas Ibuhanim Faridah Hanim Haron, kami belajar modul demi modul tentang Leadership. Antara modul pertama yang beliau tekankan adalah "Engaging Hearts and Mind".
Bisnes bukan semata mata tentang "to build great systems"
Bisnes bukan sekadar "to create accurate and efficient processes"
Bisnes bukan semata mata " to sell 1 million products"
Kita mungkin boleh melakukannya namun tatkala petang kita dan pasukan kita pulang dengan jiwa kosong. Semasa pagi, kita dan pasukan kita pergi dengan mengheret kaki ke tempat kerja.
Kita bukan lagi patut bertanya soalan " Bagaiamana aku boleh memimpin dengan baik". Soalan bagaimana itu soalan isi. Kita juga bukan lagi harus berterusan bertanya soalan bertalu bertalu, "Apakah lagi yang patut aku lakukan untuk lebih baik". Soalan sebegini soalan kulit.
Kita wajar bermula dengan soalan pati, "Kenapa aku memimpin pada titik ini dalam detik sebegini?". Ini soalan pati. Bertanya soalan begini akan meluputkan pandangan bahawa "rumput dipadang seberang lebih hijau".
Kita tidak lagi terkejar akan harta yang tidak pasti pada hujung pelangi indah selepas rintik hujan waktu petang. Kerja kita sekarang sebetulnya telah ada segala potensi untuk beri kegembiraan pasti kepada kita. Apa yang kita perlu kita lakukan adalah ubah cara kita berfikir tentang kerja. Tiada lagi "paradox of value" yang terburu buru.
Kata kuncinya adalah melihat diri kita lebih besar dari jangkauan seorang Manager, General Manager, Managing Director dan seumpamanya. Lihat diri kita dari sudut pandang sebagai "life improver" kepada orang yang kita pimpin.
Ambil cabaran in dan kerja kita setiap hari akan melimpah dengan tujuan. Ibuhanim memanggilnya sebagai "Living Our Values Everyday". Inilah nilai yang menjentik keperluan dan motivasi manusia yang bersama dengan kita setiap hari.

STRATEGI BINA TOC. 1/66


Dalam bisnes kita bernafas dan hidup dengan nombor. Setiap tahun kita tentukan matlamat baru. Setiap bulan kita mesti capai 1/12 dari matlamat itu. Kita terpukul dengan kuota yang kita tetapkan sendiri.
Berapa bilangan leads yang diperlukan, berapa bilangan prospek ditukar menjadi pelanggan, berapa unit yang telah dijual, berapa tawaran ditutup dengan pembelian dan berapa pendapatan yang dijana? Berapa berapa?
Target tahunan diukur melalui target suku tahunan. Apakah itu bisnes? ianya tentang nombor. Alpa tetang nombor, bisnes kita merundum jatuh.
Benarkah begitu? Apakah kita tidak capai "titik jenuh"- apabila kita lakukan ini berulang ulang. Andai kata, usaha kita menghasilkan nombor nombor yang baik inintidak menampilkan kejayaan yang kita impikan dalam bisnes, apakah sebenarnya yang harus kita lakukan?
Bisnes bukan sekadar tentang nombor. Bisnes adalah tentang psikologi, falsafah, sejarah dan banyak lagi. Bisnes juga tentang kenal pada pencipta kita, Allah Ta'ala yang Maha Esa.

SYARAHAN KEUSAHAWANAN UMK. PESAN TUAN ALI HASSAN 15/17.


Dalam pada mendengar syarahan selama 2 jam 30 minit itu di mana 30 minit pertama oleh Prof Dr Mohd Hassan Mohd Osman dan Dr Mohd Nor Hakimin dan di ikuti oleh 2 jam berikutnya oleh Tuan Ali Hassan.
Pada 30 minit terakhir fikiran saya mula mencapai titik jenuh apabila terlalu banyak video dimainkan oleh team Tuan Ali Hassan. Fikiran menerawang teringat akan lawatan ke VASA Museum di Stckholm Sweeden, satu ketika dahulu, semasa saya dalam dunia korporat.
Kapal perang yang dibina pada tahun 1628 itu antara kapal perang terbesar pada masa itu. Dibuat atas arahan King Gustavus Adolphus, dalam ketergesaan menurut perintah, kapal yang dilorek cantik itu terlebih berat pada bahagian atas dan ianya tenggelam sebaik sahaja memulakan pelayaran satu batu nautika dari pelabuhan.
Berapa banyak syarikat besar jadi begitu. Tenggelam ke dasar sebelum jauh berjalan. Kejayaan tidak datang pada leader yang ego besar. Menolak pandangan dari pasukan lantaran percaya diri yang entah apa apa tanpa ketahuan.
Perjalanan keusahawanan ini panjang dan berliku simpang. Beri-lah apa jua ilmu sekalipun. Ia tetap perlu pada pengalaman di medan. Satu kapal yang terbina indah atas daratan belum tentu mampu melayari lautan penuh gelombang.
Apple telah dinamakan sebagai produk paling bernilai untuk 5 tahun berturut turut. Sedangkan pada waktu mula Apple mahu memasuki sektor mobile phone, Nokia hanya mengira ianya sekadar cabaran kecil yang tidak perlu diberi perhatian serious. Lantaran ego, Nokia mengukangi sejarah kapal perang VASA.
Fikiran saya juga membandingkan apa yang saya dengar dari Tuan Ali Hassan dengan apa pernah dikongsi oleh Lee Thiam Wah. LTW lahir tahun 1964, kena penyakit polio, hilang upaya berdiri atas kaki sendiri dan bersekolah setakat darjah 6. Ada 11 adik beradik.
Bapa kerja buruh ditapak binaan. Emak penjaja. Hari ini pemilik Speed Mart 99 ini ada 175 cawangan, dengan pekerja seramai 2000 orang dan perolehan jualan rm150 juta setahun.
Untuk tetap sibuk, walaupun tidak ke sekoalh, LTW membaca buku yang dipinjam dari jiran. Dia juga menjual makanan ringan di sebuah gerai di tepi jalan. Tidak merintih jauh sekali dari meratap.
"Saya perlu membantu diri saya. Tiada siapa yang akan mengupah saya kerana keadaan fizikal saya, "kata LTW secara bersahaja. Nenek beliau selalu mengingatkan ikrar cara lama Cina
"Apabila kita tidak bekerja keras, apa lagi nilai yang kita ada".
Apabila LTW berusia 23 tahun pada tahun1987 dia ada simpanan $ 5,000 , cukup untuk memulakan kedai runcit. Itulah tempat LTW belajar memulakan pendidikan runcit beliau. LTW berkata,
"Saya tahu apa yang pelanggan mahu beli. Saya tahu semua pembekal dan harga mereka. Dan saya belajar dengan pesaing saya. "
Pada tahun 1992 tatkala berusia 28 tahun, LTW menjual perniagaan kedai runcit itu, dan kini dengan RM88,000, dia membuka mini mart.
LTW berkata,
"Saya mahu cabaran untuk menjalankan perniagaan yang lebih besar. Jika kita tidak mempunyai skala kita tidak boleh bersaing dengan dewan perubatan Cina mengenai harga, dan kita tidak boleh bersaing dengan pasar raya besar dari segi rangkaian.
Pada tahun 1999 , LTW menukar nama kepada perniagaan 99 SpeedMart.
Fikiran jauh membayangkan andai ini didedahkan kepada pelajar UMK oleh Profesor Dr Mohd Hassan Mohd Osman dan pasukan nya disamping segala ilmu perlu yang telah dikongsi dalam kelas , InshaAllah pelajar pelajar ini akan jadi usahawan berjaya pada masa depan.
Saya orang kampong Baung, hanya 5 km dari UMK boleh juga tumpang dengar dari belakang andai program begini kerap diadakan.

SYARAHAN KEUSAHAWANAN UMK. PESAN TUAN ALI HASSAN 14/17.


Tuan Ali Hassan adalah antara beberapa orang yang saya pandang tinggi. Beliau antara "strong leaders". Beliau berjaya mendepani cabaran bisnes dan membawa syarikatnya Al Ikhsan untuk pergi ke "next level".
Bukan mudah untuk mendapat dealership syarikat antarabangsa. Ianya sukar dan berliku simpang. Namun lebih sukar mahu mengangkat syarikat ketahap sekarang.
Beliau menyebut, "Pasaran Malaysia ini luas. Al Ikhsan berusaha untuk mencapai jualan rm300 juta setahun untuk pasaran Semenanjung. Al Ikhsan tidak akan masuk pasaran Sabah dan Sarawak. Sebaliknya terus menumpu kepada pasaran Indonesia".
Kepintaran ini luar biasa. Repeat the Remarkable. Beliau telah buat satu perkara yang menakjubkan dan mahu mengulanginya untuk pasaran Indonesia.
Pada tahap ini saya menelan ilmu dapatan ini dalam dalam. Hadam. Model 3F. Foundation (F#1) yang kuat dalam 20 tahun yang pertama sehingga Al Ikhsan adalah gedung sukan yang ke 80 terbesar didunia.
F yang kedua (F#2) adalah Framework . Beliau sedang mengstrukturkan syarikat dengan mempunyai megastore di gedung membeli belah terkemuka. Mewujudkan tingkah laku hubungan dengan pelanggan yang luar biasa, mempunyai pasukan yang berdisiplin dan ada SQ yang tinggi, gigih dan teku bekerja serta yang keempat bersedia dari segi mental dan fizikal untyuk memasuki pasaran besar negara jiran.
F#3 adalah Functionality. Ia terkandung dalam dua perkara - "mindset of excellence and high character". Ini tertera apabila Tuan Ali Hassan telah menetapkan mana mana kakitangan yang tidak solat berjemaah zohor dan asar akan dibuang kerja. Ternyata ramai dari kakitangan yang datang bekerja dengan Al Ikhsan mahu kepada persekitaran agama yang beliau bina itu.
John Maxwell penulis puluhan buku tentang Leadership mencatat, " Everything rises and falls on Leadership". Kejayaan Al Ikhsan sesungguhnya kerana GOOD LEADERSHIP.
Bahtera Bisnes Al Ikhsan telah melepasi kawasan boleh boleh sahaja kepada daerah "menakjubkan". Remarkable.

SYARAHAN KEUSAHAWANAN UMK. PESAN TUAN ALI HASSAN 13/17.


Kajian di Amerika Syarikat jelas menunjukkan separuh dari penduduk dewasa pernah memcuba untuk berbisnes. Ini hampir sama dengan di Malaysia. Dr Mohd Nor Hakimin menerangkan 20% dari PKS tidak memperbaharui pendaftaran perniagaan mereka. Manakala 40% syarikat tidak dapat kemudahan kewangan kerajaan dan bank lantaran lemah dalam penyediaan penyata kewangan lengkap sebagaimana yang diperlukan mengikut syarat.
Ada syarikat yang telah berjaya membentuk nilai. Jualannya juga telah melepasi rm20 juta setahun dalam 5 tahun pertama. Namun ia menguncup cepat kerana tidak dapat berdikari - "self sustaining". Mereka tiada "growth"
Ada juga perusahaan ini yang dapat mengambil satu atau dua orang pekerja dan selepas itu terus terhenti dan keluar dari pasaran. Kurang dari 10% pemilik syarikat ini dapat melepasi bayaran saraan diri lebih tinggi dari masa mereka bekerja dengan korporat lain atau semasa bekerja dengan kerajaan. Ini berkait dengan "Employee and Turnover" syarikat.
Untuk berjaya syarikat mesti boleh mencipta nilai dan dapat berdikari untuk terus mencipta nilai ekonomi. Semua orang boleh jadi usahawan. Hanya satu dari 50 orang usahawan yang memulakan bisnes dapat menjadi PEMIMPIN USAHAWAN.
Apakah yang dimaksudkan sebagai berdikari.
1. Syarikat akan terus dapat berdikari walaupun pengasas syarikat tidak lagi aktif dalam syarikat.
2. Syarikat boleh dahaja secara berterusan mendapatkan pelanggan baru, melalui inovasi terkini samada produk atau perkhidmatan. Kehilangan pelanggan lama samada atas faktor usia atau perubahan migrasi geografi dan perubahan demografi tidak menjejaskan perolehan syarikat.
Inilah yang menjadikan Al Ikhsan unik. Pendiri korporat dan pengasas syarikatnya masih ada. Baru berusia 45 tahun. Syarikat berkembang pada 100 cawangan yang pertama pada tahun 2011. Pernah ada 160 cawangan pada satu ketika, sebelum mereka mengstrukturkan kepada 130 outlets buat masa ini.
Sentiasa ada buka dan tutup pada outlets. Ada tempat berjaya. Ada tempat kurang berjaya. Namun semua itu pembelajaran berguna yang menjadikan mereka dapat melangkah lebih jauh ke depan. Mereka cepat memgenal pasti kedai yang tidak berdaya saing.
Mereka berjaya mengenalpasti kategori baru yang perlu difokus. AL misalnya bermula dari stokin sahaja. Namun jenama buatan sendiri ini cepat dapat perhatian hingga mereka dapat buat keuntungan kasar rm1 juta. Lalu diperluas pada apparel, kasut, bag dan seumpamanya.
Pada Tuan Ali Hassan, formula untuk berjaya dalam bisnes itu ada di mana mana. Apa yang sukar adalah semangat - passion mahu berjaya dan dilengkapkan dengan kepemimpinan syarikat korporat itu yang patut diutamakan.

SYARAHAN KEUSAHAWANAN UMK. PESAN TUAN ALI HASSAN 12/17.


Saya datang. Saya dengar. Saya catat. Saya kupas. Sebagai orang desa mungkin hati saya tenang untuk menangkap apa yang tersirat dalam suratan kata Tuan Ali Hassan pada syarahan itu.
Sekadar itu. Saya bukan "Management Expert". Bukan juga "Business Guru". Tiada "academic jargon or formulaic prose". Apa yang saya tahu ulasan berdasarkan pengalaman dan penekunan sahaja.
Tuan Ali Hassan memulakan bisnes tatkala PNS belum wujud. PUNB telah ada namun masih belum berkembang membantu usahawan kecil. Saya sendiri pernah menghadap PUNB awal tahun 90an. Mereka juga tidak begitu membantu pada masa itu.
Sejak dari awal disebut "success requires more than entrepreneurship". Tanpa ada "a basic set of startup leadership skills" sukar untuk seseorang usahawan itu membina empayar bisnes.
Tuan Ali Hassan adalah entrepreneurial leader (EL), sesuatu yang jarang dimiliki oleh usahawan usahawan lain. Dr Mohd Nor Hakimin dalam ucapan awalnya memetik angka angka berikut:
"Bloomberg yang menyatakan 8/10 dari sahawan gagal dalam 18 bulan pertama. Dari yang bertahan hanya 31.51% bertahan hingga tahun kelima".
Ini angka tunjuk kegagalan PKS. Al Ikhsan satu ketika dahulu. Al Ikhsan sekarang adalah syarikat besar sebab perolehan mereka telah mencapai lebih dari ratusan juta setahun.
Angka ini menarik sebab Tuan Ali Hassan menyatakan betapa beliau pernah "dihalau" semasa mahu mendapatkan bantuan dan sokongan kewangan dari bank. Dia anak orang kampong yang miskin. Tiada cagaran dan tiada ilmu kewangan.
Namun, dia bertahan sebab memberikan khidmat sebaik mungkin kepada pelanggan. Setiap kesukaran itu seumpama "exam" dalam kehidupan. Tiada alasan. Juga tidak pandang ke belakang.
Belajar berfikir untuk mengatasi segala cabaran yang mendatang. Ini membawa kepada lima ciri utama EL:
1. Kesedaran Diri. Beliau bekerja 18 jam sehari pada permulaan bisnes. Motivasi Diri, Traits dan Skills membantu beliau berjaya.
2. Pembinaan Hubungan. Beliau bina hubungan dengan suppliers, pelanggan dan kakitangan. Ini menjadikan jaringan beliau semakin kuat.
3. Dorongan: Beliau berjaya mendorong orang lain untuk membantu beliau memudahkan jalan untuk berjaya.
4. Mengetuai Perubahan- Leading Change: Ini sungguh hebat. Berapa lama Adidas, Nike, Puma, UMBRO dan banyak lagi jenama premium ini telah pun mempunyai principal-wholesalers mereka, namun sedia untuk berubah dan mahu bekerjasama dengan Al Ikhsan dan akhirnya melantik Al Ikhsan sebagai rakan kerjasama mereka.
Nike misalnya telah melantik Al Ikhsan sebagai "Nike Factory Store" yang pertama di Asia Tenggara. Al Ikhsan juga adalah "number one retail partner" kepada PUMA. Pada tahun 2012, Al Ikhsan adalah gedung sukan ke 80 terbesar didunia.
5. "Entrepreneurial Leader"- EL yang kelima adalah Al Ikhsan hampir melengkapi semua "Entreprise Basics"- memahami segala keperluan dalam perusahaan sehingga mereka matang. Ini terbukti apabila Al Ikhsan memenangi anugerah Asean outstanding Business Award pada tahun 2012.
(Bersambung)

SYARAHAN KEUSAHAWANAN UMK. PESAN TUAN ALI HASSAN 11/17.


AKAR Keusahawanan. Menekuni syarahan dari Tuan Ali Hassan dari Al Ikhsan atas jemputan Profesor Dr Mohd Hassan Mohd Osman, TNC AA, UMK melengkapkan penekunan ringkas saya tentang 4 syarikat yang saya akronimkan sebagai AKAR:
A = Al Ikhsan Tuan Ali Hassan.
K = Karangkraf Dato' Hussamuddin Yaacub.
A = ABS -PTS Puan Guru Ainon Mohd.
R = Richworks DAO dan Haji Jerry Zafrul Rizal Mat.
3 syarikat berikut itu akan saya perikan kemudian dalam siri yang lain. Apa yang mahu kita sepakati sekarang adalah Al Ikhsan memahami perubahan dalam ketidaktentuan sekarang dan pandai memanfaatkan peluang. Mereka faham "mathematical tools" masa kini yang dipanggil algorithms.
Kuasa minda yang telah di "computerized" dan ia boleh memahami pola pembelian dan kelakuan pelanggan . Al Ikhsan juga tahu peratusan besar pembeli mereka adalah Gen Y yang mahu produk berkualiti, teknologi pembuatan terkini dengan desain paling menarik dan harganya mestilah berpatutan.
Pembelian bukan lagi era kita mencari baju dan alatan sukan di G.S Gill, Jalan TAR tahun 80an dan 90an. Kata kuncinya pada ALGORITHMS - ia mengubah ekonomi global dan gaya pembelian individu masa kini.
Algorithms memperkayakan tahap "interactivity". Pengalaman pelanggan bukan lagi pada tahap "second or thirdhand". Ia bukan lagi dari pengedar B yang diberi kepada peruncit C sebelum dijual kepada pelanggan.
Al Ikhsan disamping mengedarkan produk premium antarabangsa juga ada produk sendiri yang sungguh berkualiti. Jenamanya adalah AL - jenama produk yang mereka kata dipunyai oleh rakyat Malaysia.
Dalam kumpulan syarikatnya Tuan Ali Hassan adalah Group CEO. Beliau adalah CEO untuk Malaysia kepada ASICS, LOTTO, Canterbury. Al Ikhsan tidak lagi terkurung pada bolasepak dan larian (running) semata mata. Mereka melebar luas barangan untuk edaran dengan memperolehi pelbagai dealership produk antarabangsa, sesuatu yang sungguh "remarkable" - menakjubkan.
Semua ini dicapai lantaran "math house" yang mereka bina. Pengguna sebenar rasa tertambat dengan syarikat. Mereka membeli secara terus dan memberi maklumbalas secara semerta. Ini memberi kelebihan kepada Al Ikhsan untuk menjangkakan "consumer preferences" pada waktu sebenar "real time" . Menyusun startegi dan membuat tawaran meleleh pada masa yang tepat dalam dunia persaingan sengit ini.
Sekaligus menjadikan setiap pelanggan yang masuk ke kedai Al Ikhsan merasai pengalaman baru yang tidak dirasai di kedai sukan biasa yang selama ini, penuh produk lama-basi tak laku dan berselerakan dengan pelbagai perkara.
Al Ikhsan, Insha Allah dengan kemunculan megastore mereka adalah kedai besar, selesa, bersih dan penuh kejutan semasa dari teknologi terkini dunia sukan yang penuh warna warni dan jambatan antara bisnes dengan pelanggan. Sesuatu yang baru dalam industri.

SYARAHAN KEUSAHAWANAN UMK. PESAN TUAN ALI HASSAN 10/17.


Semasa mendengar syarahan Tuan Ali Hassan saya perhati dan tekuni kata kunci. Beliau kerap menyebut Gen Y. Beliau berperi tentang kehadiran beliau dalam konsert Bon Jovi. Baru pulang dari Formula One di Singapore. Akan pergi menonton Rugby World Cup.
Beliau bercakap tentang keselesaan. Tentang tendangan Wyane Rooney, pemain MU yang telah berusia 30 tahun dengan ketinggian 5' 9" yang berat badannya 185 Ibs dan berpendapatan 13 juta GBP pada tahun 2015. Rooney yang mempunyai tendangan 160 km/jam.
Itulah sebab Tuan Ali Hassan mahu mewujudkan Megastore dengan keluasan 12,000 kps. Bukan kedai biasa yang hanya ada keluasan 1000 kps. Tapi megastore yang 80 kali lebih besar dari kedai beliau yang mula mula yang hanya seluas 150 kps.
Megastore ini ada segala kemudahan perlu termasuk tempat untuk uji kederasan tendangan. Tempat yang menjadi kegilaan untuk anak muda Gen Y datang berkunjung. Jelas Tuan Ali Hassan mahu menjadikan Al Ikhsan sebagai sebuah "Math House" - model bisnes masa kini yang setiap sentuhan dengan pelanggan direkodkan oleh robot komputer.
Pada masa depan syarikat yang ada "mathematical capabilities" akan berada didepan beberapa tapak dari pesaing lain. Google, Facebook, Amazon adalah peneroka "mathematical corporation". Mereka "born digital".
Pemimpin bisnes masa depan mesti memahami digitization. Sekurang kurangnya tahu soalan yang betul untuk ditanya kepada pakar yang rata rata datang dari Gen Y. Ada imiginasi hasil dari perhati syarikat besar dunia bagaimana matematik mampu membantu pendiri korporat untuk mendesain semula pengalaman pelanggan - satu kemahiran yang boleh memecut laju mereka ke depan.

SYARAHAN KEUSAHAWANAN UMK. PESAN TUAN ALI HASSAN 9/17.


Setelah 21 tahun berbisnes dan sedang buat sasaran jualan untuk capaian rm300 juta setahun dalam bidang alatan dan pakaian sukan, satu bidang yang yang diluar dari kebiasaan anak Melayu menyebabkan kita bertanya apakah faktor yang menjadikan Tuan Ali Hassan ini berjaya.
Telah disurat awal kekuatan dalaman yang beliau bina bersama pasukan. Kembali kepada hubungan antara makhluk dengan Pencipta. Dari sudut "Sekolah Iman" jelas tertera nyata.
Sekarang, kita cuba lihat dari catatan ringkas yang saya sempat tandai apakah faktor faktor disebalik "Sekolah Ilmu" pula.
Pertama, dari minit minit pertama Tuan Ali Hassan membuka mulut beliau telah menyebut tentang pasaran di UTM yang perlu pada produk dan barangan sukan. "Success is finding a real market need and filling it".
Keboleh upayaan memahami degup jantung keperluan pasaran. Apabila pasaran wujud, isi segera. Berikan khidmat melebihi tahap "hubungan mesra". Berikan hingga tahap "hubungan memuliakan manusia". Nyata ia mencipta jejak jaya.
Kedua, usah biarkan ego besar menguasai diri. Selalu saya tulis, "tinggalkan ego besar di muka pintu, jalan kejayaan itu sempit dan berliku".
Usahawan mesti bersedia untuk ditunjuk ajar. Sedia untuk belajar, Sedia untuk diajar dan sedia pula untuk berkongsi memberi tunjuk ajar. Dalam kata mudah, "receptive to caoching".
Kemudian usahawan mesti tahu tentang nombor, sesuatu yang telah diterang benderang oleh Dr Mohd Nor Hakimin dalam syarahan 14 slides beliau sebelum itu. Seterusnya usahawan mesti buat kajian.
Peluang datang bukan sekali. Apabila kita bersedia, kita akan dapat menangkap cepat peluang yang datang. Peluang bisnes itu seumpama bas. Ia datang berkali kali. Kita tanya diri, apakah kita bersedia naik tatkala bas itu sampai.
Ketiga, terang bagaikan bersuluh. Benderang tanpa lampu suluh. Kejayaan bukan milik individu genius. Yang hebat adalah "team genius". Berulang kali Tuan Ali Hassan memberitahu khalayak cerdik pandai Pensyarah UMK dan pelajar, beliau bukan pintar terdidik. Bukan ada "mental capacity and connections" luar biasa. Beliau anak orang miskin dari Johor Bahru.
Tuan Ali Hassan bukan ikon macam Steve Jobs, Elon Musk atau Bil Gates. Bukan juga macam Tan Sri Syed Mokhtar, Tan Sri Shahril Shamsuddin dan Tan Sri Tony Fernandes. Mereka Billionwang.
Hakikat Nyata, usahawan seperti ini-lah yang wajar dipanggil bercakap dengan pelajar. Capaian mereka tinggi namun masih dapat dipandang dari ufuk pemikiran biasa. Orangorang seperi Dato' Hussamuddin Yaacub, Dato' Ramli Mukmin dan ramai lagi adalah usahawan yang bermula dari lantai biasa sebelum terbang dilangit tinggi.
Tahniah UMK.
(Bersambung).

SYARAHAN KEUSAHAWANAN UMK. PESAN TUAN ALI HASSAN 8/17.


Selepas kupasan panjang bersiri dari syarahan saya dengar di UMK ini, suka saya berperi dua perkara yang melatari perbincangan sebegini:
1..Tuan Ali Hassan bukan seorang penyampai yang cemerlang. Beliau tidak membilang dari satu sampai berbelas fakta. Kita lah yang mesti pandai menimba apa yang sesuai untuk dibawa pulang dalam hitung kira ilmu keusahawanan.
2. Tuan Ali Hassan tidak membaris kata sebaik Pensyarah sebelumnya Dr Mohd Nor Hakimin yang sangat teratur dan berstruktur. Tuan Ali Hassan bercakap dari hati. Namun apa yang pasti keyakinan diri beliau jelas sekali.
Seorang Profesor dari UMK, Prof Dr Farok bin Zakaria bertanya, apakah faktor penguasaan Bahasa Inggeris menjadi faktor penting membolehkan seseorang usahawan berjaya membina network di luar negara. Nyata, soalan ini meransang "bulu roma" Tuan Ali Hassan tegak berdiri.
Beliau menjawab dengan yakin diri, "Tidak". Bahasa Bisnes itu mudah, kata Tuan Ali Hassan. Cukup dengan mengetuai basik. Terma terma bisnes. Kemudian kayuh lah setakat boleh. Apa yang penting rundingan itu mahu di sudahkan supaya menjadi.
Pada hemat Tuan Ali Hassan, bukan bahasa yang menghalang kita mahu berjaya dalam dunia bisnes. Apa yang menghalang kita adalah "kurangnya keyakinan diri". Kita mudah mengalah. Kita mudah berputus asa.
Dalaman kita tidak kuat. Kita mudah mengalah pada halangan yang datang bertali arus. Kita mahu segalanya mudah "supaya yang bulat datang menggolek dan yang pipih terbang melayang".
Disebalik saya Tuan Mohamad Zaidan Abdul Rahim, anak muda yang kenal ramai orang politik. Saya bertanya diri, apakah anak muda sebelah saya yang sudah larut dalam "dunia subsidi" ini dapat bersaing dalam dunia terbuka tanpa tender dan kontrak yang sedang diungkap nyata oleh Tuan Ali Hassan ini.
(Bersambung)

SYARAHAN KEUSAHAWANAN UMK. PESAN TUAN ALI HASSAN 7/17.


Pemikiran Bisnes Tuan Ali Hassan adalah membina watak manusia yang akan menggerakkan syarikat beliau. Bagi beliau "Pekerja adalah Boss". Setiap pekerja yang menyertaiAl Ikhsan mesti menandatanagani Perjanjian Sumpah Syari'e.
Kandungannya adalah solat berjemaah Zohor dan Asar. Ada tazkirah ringkas lepas Asar. Digalakkan Dhuha. Andai sesiapa yang didapati tidak solat berjemaah masa Zohor dan Asar akan dibuang kerja.
Inilah kunci yang mendasari pembangunan manusia di Al Ikhsan. Apabila manusia tiada hubungan dengan Pencipta bagaimana mahu diharapkan manusia itu untuk memikul amanah.
Apabila kita sebagai pemilik tidak membangunkan manusia, bagaimana mungkin kita mahu memajukan bisnes. Manusia ini insan. Mudah lupa. Mereka perlu sentiasa diingatkan akan kebenaran dan kesabaran.
Manusia yang baik akan membentuk komuniti yang baik. Komuniti yang akrab akan membentuk TRIBE. Tribe mesti didasari pada nilainya. Kata kunci adalah "common set and belief".
Tribe terdiri dari manusia yang sama nilai dan kepercayaannya. Tatkala Asia masih gempita dengan ilmu marketing, syarikat syarikat di Silicon Valley telah mula membangunkan pendiri pendiri korporat.
Team Genius mesti dibekalkan dengan ilmu pertama dalam Dunia Keusahwanan - Leadership. Ia turutan dari pembentukan Mindset.
Apabila orang percaya apa yang kita percaya -sesuatu yang "remarkable"- menakjubkan akan berlaku. Inilah yang berlaku pada Al Ikhsan.
Mendengar Tuan Ali Hassan menyampaikan syarahan beliau mengingatkan saya pada Zhu GeLiang seorang tokoh dalam ketamadunan China yang menggunakan "creative solutions" -strategies dalam memperolehi "advantage berbanding dengan lawannya".
Zhu GeLiang telah menghabiskan masa selama 26 tahun berkhidmat untuk Kerajaan Shu dan meninggal tatkala usia 53 tahun. 40 tahun selepas kematian beliau, "16 Strategies of the Art of Management" telah dibukukan.
Tulisan dan catatan saya ini adalah percubaaan awal mendokumentasikan strategi bisnes usahawan kita dari kacamata usahawan. Terima kasih Profesor Dr Mohd Hassan Mohd Osman, TNC AA, UMK yang sudi menjemput saya.
(Bersambung)

SYARAHAN KEUSAHAWANAN UMK. PESAN TUAN ALI HASSAN 6/17.


Apakah kekuatan sebenar Tuan Ali Hassan sebagai usahawan kaya dan berjaya? Kekuatan beliau pada hemat saya keberanian mencabar kebiasaan. "To challenge the mediocre".
Sewaktu mula berbisnes jelas beliau hanya mendapat kebenaran menjual produk biasa biasa sahaja. Beliau telah dijauhkan dari brand terkenal seperti Adidas, Puma , Nike dan seumpamanya.
Principal-Wholesaler produk berjenama premium ini tidak pandang usahawan baru mula macam beliau. Namun Tuan Ali Hassan tidak putus asa. Dia cari cara. Dia beli produk ini dari Singapore dan bawa masuk ke Malaysia.
Produk premium yang diedar oleh Tuan Ali Hassan ini laku keras. Wholesaler mula membantah. Namun dasar yang ditetapkan oleh Perdana Menteri pada masa itu, Tun Dr Mahathir yang menolak idea monopoli penjualan produk sebegini membantu Tuan Ali Hassan.
Upaya beliau menjual banyak ini menyebabkan principal-wholesaler Adidas, Puma, Reebock, Nike dan seumpamanya memanggil beliau untuk berbincang.
Tuan Ali Hassan mempunyai keyakinan diri yang luar biasa. Bagi beliau sebagai rakyat Malaysia, dia lebih tahu apa yang rakyat Malaysia mahukan.
Strategi beliau berbeza. ianya bukan ampu bodek tatang berkawan dan meminta untuk buat pakatan. Strategi Tuan Ali Hassan adalah bergaduh dahulu dari segi percaturan niaga. Kemudian apabila kekuatan makin seimbang, beliau mula bersedia untuk bekerjasama.
Demikianlah antara detik detik awal beliau mengatur langkah. Seorang yang pada mulanya, bercita-cita untuk menjadi pemain bola sepak negara tetapi tidak berhasil. Beberapa kawan-kawannya, yang berada dalam skuad kebangsaan pada lewat tahun 80-an telah menasihati beliau:
Mereka secara jujurnya memberitahu Tuan Ali Hassan bahawa
"anda boleh menjadi popular dan terkenal dengan bermain bola tetapi dengan menjadi seorang pemain bola sepak di Malaysia sukar mahu kaya"
Tuan Ali Hassan memilih langkah kanan dengan mengedarkan jersey dan kasut bola, kemudiannya segala peralatan sukan.
(Bersambung)

SYARAHAN KEUSAHAWANAN UMK. PESAN TUAN ALI HASSAN 5/17.


Apabila kita sudah buat keputusan untuk terjun dalam dunia keusahawanan , tidak perlu lagi pandang belakang. Jalan Terus. Fokus dan beri tumpuan.
Untuk memulakan perlukan keberanian. Untuk meneruskan perlukan kesabaran. Rintangan datang silih berganti. Cabran datang kepalang tanggung. Namun sabar itu ubat paling mujarab.
Sabar itu ciri khas milik manusia berakal. Sabar bukan milik binatang. Mereka ada kekurangan nyata. Sabar juga bukan milik malaikat, Mereka makhluk sempurna. Mengabdi kepada Tuhan.
Sabar adalah konflik antara dua kekuatan. Bisikan malaikat dan hasutan syaitan. Allah berikan kurnia dan anugerahnya pada makhluk bernama manusia. Allah muliakan dan tinggikan darjat manusia dari semua makhluk.
Atas upaya itu pada saat manusia berakal baligh mereka dan dua kekuatan nyata:
1. Kekuatan hidayah untuk mengetahui kebenaran kebenaran dengan tepat.
2. Yang kedua adalah sabar.
Kekuatan kedua ini adalah pelengkap kepada kekuatan pertama. Ia menyokong dalam menghadapi perang melawan hawa nafsu dan godaan syaitan.
Memang bisnes sejak mula ada rintangan. Ini tempat kekayaan berkumpul. Pada mulanya sukar mahu tembus pasaran. Kuncinya sabar.
Kemudian, cabaran selanjutnya adalah selepas kaya. Tuan Ali Hassan sekarang dijemput ke setiap event sukan terbesar dalam negara. Piala Dunia, Sukan Olimpik, Kejohanan Rugby Dunia, Formula One dan seumpamanya.
Apa yang utama, dimana sahaja berada dibumi Tuhan ini, solat mesti jaga. Hamparkan sejadah. Solat. Itu yang paling utama. Bisnes jangan sampai melalikan kita dari urusan urusan utama mendekatkan diri kita dengan Allah Ta'ala.
(Bersambung)

SYARAHAN KEUSAHAWANAN UMK. PESAN TUAN ALI HASSAN 4/17.


Kata Tuan Ali Hassan- pasaran Malysia ini sungguh luas. Apa yang utama selepas ada Modal Diri, tingkatkan Modal Ilmu. Gunapakai supaya dapat jadi usahawan yang berjaya.
Selepas beberapa tahun bermula bisnes, dia didatangi pegawai dari Suruhanjaya Syarikat. Mereka bertanya adakah perniagaan beliau didaftarkan. Tuan Ali Hassan terpinga pinga. "Daftarkan perniagaan untuk apa Tuan?"
Nyata beliau kosong ilmu dalam bidang perniagaan. Mereka yang datang beri amaran. Dua minggu tempoh masa diberi. Pergi daftar dengan SSM segera atau bakal berdepan hukuman akan didenda.
Esoknya beliau ke SSM. Isi borang pemilikan tunggal dan hantar ke kaunter. Berkebetulan beliau kenal seorang "abang" di kaunter. 3 nama mesti dipilih. Tuan Ali Hassan tak faham apapun soal jenama.
Yang dia tahu beli dan jual. Ada masalah mahu dapatkan barang, dia sediakan. Ada pesanan dia hantarkan. Sekarang dia daftarkan perniagaan pemilikan tunggal dan tuliskan tiga nama yang terlintas.
Masa itu khidmat kaunter tidak secekap sekarang. Balik dahulu dan nanti datang lagi untuk ambil keputusan. Beberapa hari kemudian "abang kaunter" telefon. Nama yang Tuan Ali Hassan pilih semuanya sudah ada hak milik.
"Abang kaunter" pilih satu nama untuk beliau. Nama yang "abang kaunter" pilih AL IKHSAN. Dan nama itulah yang beliau gunakan untuk membina empayar sekarang. Nama itu kemudiannya ditukar kepada Al Ikhsan Sports Sdn Bhd.
(Bersambung)

SYARAHAN KEUSAHAWANAN UMK. PESAN TUAN ALI HASSAN 3/17.


Telah saya perikan dalam posting sebelum ini akan tujuh perkara untuk berjaya. Saya ulangtayang semula:
1. Idea. Ianya matawang berharga abad ke 21.
2. Team Genius. manusia yang sepakat untuk bekerjasama. Jentera.
3. Tempat untuk bina atau organisasikan.
4. Bahan bahan mentah yang diperlukan.
5. Pengedaran untuk mendistribusikan.
6. Duit. Dana.
7. Marketing.
Benar, Tuan Ali Hassan bermula dengan idea mahu membantu menyelesaikan masalah pelajar dan pensyarah UTM Skudai mendapatkan bekalan alatan sukan. Hidup berfokus.
Dorongan bisnes beliau adalah mahu buka kedai sukan. Semudah itu. Dengan idea ini beliau bermula. Tiada Mentor, tiada dana dan sokongan. Tiada ilmu usahawan dari percontohan keluarga ataupun darinpensyarah masa diuniversiti.
Pada lokasi ditepian Universiti, dalam kedai kecil sempit 150 kaki persegi. Semua rintangan akan diatasi satu persatu. Bagi Tuan Ali ada dua pegangan semasa:
1. Beri khidmat terbaik.
2. Cari rezeki yang berkat.
Kekayaan akan datang apabila dua perkara ini dipenuhi dahulu. Segala faktor lain akan beliau pelajari kemudian nanti.

SYARAHAN KEUSAHAWANAN UMK. PESAN TUAN ALI HASSAN 2/17.


Dr Mohd Nor Hakimin Yusoff, Timbalan Pengarah Institut Usahawan Kecil dan Sederhana UMK mengakhiri ucapan awal sebelum Tuan Ali Hassan tampil ke pentas dengan berkata:
" Semua orang boleh jadi usahawan namun segelintir yang boleh jadi usahawan kaya".
Untuk apa kita perlu kaya. Inilah pati dari daya fokus Tuan Ali Hassan. Beliau sangat menyayangi ibunya. Ibu beliau berkata, "Ali kena kaya. Bagi duit kepada emak. Emak mahu sedekah pada orang miskin".
Jelas ada tiga perkara teras yang membangunkan Tuan Ali pada malam malam saat mula berbisnes, menggerakkan semangat dan daya dorong untuk beliau maju ke depan.
Apakah tiga perkara itu?
1. Tuan Ali berkata, usahakan untuk solat suboh berjemaah. Langkahan kaki pertama harus ke masjid. Itu kemenangan awal kita. Apabila kita solat, sediakan ruang untuk solat jemaah bersama pekerja setiap Zohor dan Asar. Ada tazkirah ringkas lepas Asar. Galakkan mereka solat dhuha.
Ada kuliah pada hari Jumaat. Ada kelas fardhu Ain pada setiap hari Rabu. Pembinaan Modal Diri kakitangan untuk jadi orang amanah. Ramai kakitangan menyertai Al Ikhsan lantaran mahu berada dalam lingkungan persekitaran Islam.
2 Restu ibubapa. Doa mereka. Lebihkan mereka dari semua manusia yang ada atas muka bumi ini selain dari Rasulullah (baca selawat). Semasa hayat ibunya, ibu Tuan Ali Hassan adalah Chairman Al Ikhsan.
3. Keluarkan zakat. Mahu kaya sebab mahu keluarkan banyak zakat. Solat dan zakat itu adalah dua perkara yang banyak kali disebut dalam satu frasa. Dalam pada itu bersedekah. Ibunya banyak minta duit untuk disedekah kepada fakir miskin dan orang susah. Sayangkan fakir miskin. Peluk mereka apabila berjumpa.

SYARAHAN KEUSAHAWANAN UMK. PESAN TUAN ALI HASSAN 1/17.


Tuan Ali Hassan lahir 9 Julai, 1970. Mula berniaga umur 20an. Asalnya dia pemain bola universiti. Mahu cari kasut bola. Sukar diperolehi. Pergi Singapore.
Balik bawa untuk pakai sendiri dan jual. Dia menyedari ada masalah mendapatkan produk sukan. Maka dia buat keputusan untuk mula berbisnes.
Rintangan banyak. Brand tidak kenal dia. Bank tak ambil pusing pasal dia. Anak orang miskin yang ada yakin diri bercita cita besar.
1993, masa usia 23 tahun dia buka kedai. 150 kaki persegi di Holiday Plaza. Dia tidak tahu apa langkah langkah yang dia harus buat. Apa yang dia tahu dia mahu berbisnes. Tiada kuliah usahawan yang berstruktur pada awal tahun 90an.
Brand yang dapat beliau pasarkan bukan brand utama. Slazenger, Sidek dan beberapa brand biasa. Apa yang utama adalh beliau BERANI BERMULA. Ini kata kunci pertama.
Usah terlalu banyak merancang. Mulakan dengan apa yang ada ditangan. Waktu itu dia bekerja 18 jam sehari. Tiada jalan pintas mahu berjaya.
Believe the unbelievable. Percaya apa yang sukar dipercayai.
Dua kunci kata untuk posting ini:
1. Berani Bermula.
2. Tiada jalan pintas mahu berjaya - kerja kuat.